free glitter text and family website at FamilyLobby.com

Selasa, 2 Julai 2013

ASIMILASI PERCAMPURAN KOD DALAM KOMUNIKASI HARIAN MASYARAKAT SALAKO

Anne Intoh
SARAWAK

Kaum Salako merupakan sub etnik terkecil dalam kelompok  kaum Bidayuh di Sarawak. Suku kaum peribumi Sarawak ini, bermastautin di 23 buah perkampungan  sepanjang Jalan Lundu-Sematan, Jalan Biawak dan Jalan Pueh di Daerah Lundu. Dianggarkan penuturnya berjumlah kurang daripada 15,000 orang. Daerah Lundu terletak  Kira-kira 100 km dari Bandaraya Kuching. Menurut beberapa orang pengkaji, penutur bahasa Salako berasal dari Sambas, Kalimantan dan Pemangkat, Indonesia. Arus pemodenan dan globalisasi telah mempengaruhi keaslian dialek Salako. Pemilikan leksikal pelbagai bahasa terserap ke dalam kosa kata dialek Salako sehingga kosa kata tersebut hilang keasliannya. Kecenderungan penutur jati Salako menyerap pelbagai dialek ke dalam dialek Salako untuk dijadikan sebagai bahasa pertuturan harian merupakan salah satu faktor utama. Trend penutur jati mengasimilasikan percampuran kod dalam komunikasi harian turut menyumbang kepada kepupusan dialek Salako. Menyedari kesannya kepada dialek warisan nenek moyang, maka usaha yang berterusan harus dilakukan oleh pelbagai pihak terutamanya penutur jati dialek Salako untuk mempertahankan keaslian dan keunikannya. Generasi muda harus menghayati dan meneruskan kelangsungan dialek ibunda mereka agar tidak hilang ditelan zaman. Kajian ini menjelaskan trend percampuran kod dalam komunikasi harian kaum Selako dan menganalisis sejauh manakah  kecenderungan trend asimilasi berupaya menggugat kelangsungan  dialek Salako dalam cabaran melestarikan bahasa ibunda sebagai bahasa pertuturan harian dalam komunikasi masyarakat Salako.  Oleh yang demikian,  setiap lapisan dalam komuniti masyarakat Salako harus mempunyai empati dan perasaan sepunya terhadap dialek ibunda agar dialek itu berkembang seiring dengan perubahan masa serta mampu menyerlahkan jati diri penuturnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan