free glitter text and family website at FamilyLobby.com

Selasa, 2 Julai 2013

PELESTARIAN BAHASA BAJAU: SATU UPAYA BUDAYA

Prof. Madya Dr. Saidatul Nornis Hj. Mahali

Sebagai medium interaksi, bahasa menjadi penting kerana fungsi dan matlamat yang ditanggungnya. Dalam mana-mana masyarakat di dunia, bahasa itu datang seiringan dan berpadu dengan budaya. Kewujudannya menandakan bahawa bahasa itu penting sebagai penyimpan khazanah serta kearifan masyarakat pendukung. Tanpa bahasa, budaya sesebuah masyarakat itu akan mengalami penyusutan malah berkemungkinan akan mulai dilupakan dan sekaligus ditinggalkan. Pada abad ke-21 ini, banyak bahasa etnik khususnya di Borneo yang melalui fasa penyusutan penggunaannya dalam kalangan ahli. Hal sedemikian terjadi berkemungkinan kerana pengaruh bahasa dominan khusus bahasa kebangsaan dan bahasa global yang secara tidak langsung menidakkan kewujudan bahasa etnik/peribumi. Malah sesetengah anggota keluarga sengaja memilih untuk berinteraksi dalam bahasa selain bahasa etnik/peribumi, kesannya bahasa berkenaan tidak diketahui dan difahami oleh ahlinya. Hal seumpama itu bukanlah asing dalam kalangan kebanyakan etnik di Borneo. Atas alasan kemajuan dan pemodenan maka bahasa etnik/peribumi dipinggirkan sedikit demi sedikit. Peminggiran sedemikian secara tidak langsung akan meminggirkan budaya lokal yang tersembunyi di dalam bahasa berkenaan. Sehubungan itu, kertas ini diusahakan melihat cabaran dan usaha pelestarian bahasa Bajau dalam kalangan generasi muda khususnya, apatah lagi bahasa Bajau dilingkari oleh pelbagai budaya di Sabah khususnya dan Malaysia amnya. Antara cabaran yang sedang dialami bahasa Bajau adalah sikap para ibu bapa yang malu berbahasa itu di rumah malah bagi kebanyakan ibu bapa berpendidikan tinggi, mereka lebih gemar berbahasa Inggeris atau berbahasa Melayu dengan anak-anak. Akibatnya, bahasa Bajau dianggap sebagai bahasa yang ketinggalan dan tidak mempunyai nilai komersial.

Kata kunci: Bahasa Bajau, Pelestarian bahasa, Bahasa Etnik/Peribumi, Sabah

Tiada ulasan:

Catat Ulasan