Mohd SharifudinYusop, Phd.
(Pensyarah Kanan, Fakulti Bahasa
Moden dan Komunikasi, UPM)
dan
Shantrol Abdullah, M.A.
(Pegawai Istilah, Dewan Bahasa
dan Pustaka Cawangan Sarawak)
Sebagai sebuah
negeri yang terbesar di Malaysia, Sarawak didiami oleh sekurang-kurangnya 47
suku kaum yang diklasifikasikan menerusi ciri bahasa mereka. Dominasi bahasa-bahasa
utama seperti Melayu, Inggeris, Iban, Melayu Sarawak dan Melanau, menyebabkan
banyak bahasa yang kecil bilangan penuturnya seperti Seru, Tanjung, Lahanan,
Ukit, dan Penan, berhadapan dengan
masalah keterancaman dan kepupusan. Kehilangan bahasa-bahasa ini akan
menyebabkan kemusnahan diversiti masyarakat yang selama ini mewarnai Bumi
Kenyalang ini. Justeru masih banyak data bahasa-bahasa itu yang belum dikaji
dan didokumentasi, kajian seperti ini adalah difikirkan amat kritikal untuk
dilaksanakan. Salah satu bahasa yang hampir hilang ialah bahasa Vaie. Selama
ini, bahasa Vaie dianggap sebagai subdialek Melanau yang dituturkan di Bintulu.
Namun demikian, daripada kajian awal yang dilakukan, didapati bahawa bahasa ini
sebenarnya boleh berdiri sendiri kerana terdapat sekurang-kurangnya 70%
perbezaan berbanding bahasa Melanau. Bersandarkan pendekatan etnolinguistik,
kajian ini dilakukan dengan mengumpul senarai kosa kata bahasa itu dan
menganalisis sistem fonologinya. Ukuran leksikostatistik dan dialektometri
diaplikasi mengikut keperluan. Data
dianalisis secara kualitatif. Responden dan informan terdiri daripada
masyarakat Vaie yang tinggal dibeberapa petempatan di Bintulu. Setelah analisis kosa kata dibuat, didapati bahawa
terdapat perbezaan sistem fonologi dan ciri semantik yang signifikan dalam
bahasa Vaie berbanding bahasa Melanau. Penemuan konsonan /v/ dan /q/ dalam kosa
kata bahasa Vaie menunjukkan bahasa ini tidak tergolong dalam rumpun bahasa
Melayo-Polinesia sebagaimana kelaziman bahasa-bahasa sukuan Sarawak yang lain.
Kajian ini membuktikan kewujudan satu bahasa lain di Sarawak dan justeru,
terdapat satu etnik lain yang bernama suku Vaie yang selama ini tidak terdapat
dalam senarai suku kaum di Sarawak. Hal ini akan mencetuskan persoalan linguistik
historis yang lebih menarik dan mencabar pengkaji-pengkaji antropologi
linguistik untuk melakukan kajian yang lebih mendalam.
Kata Kunci: keterancaman, bahasa Vaie, etnolinguistik,
leksikostatistik, dialektometri
Tiada ulasan:
Catat Ulasan