Surinah binti Haji Nordin
BRUNEI DARUSSALAM
Kertas kerja ini
bertujuan untuk melihat nama perniagaan sebagai wahana atau komoditi yang
mempunyai peranan yang tidak kurang hebatnya dalam mempromosi bahasa. Kertas
kerja ini mengupas tentang senario dan isu penggunaan bahasa pada nama
perniagaan terutamanya yang terdapat di papan-papan nama perniagaan di Negara
Brunei Darussalam. Fokus perbincangan menjurus kepada penciptaan nama
perniagaan khususnya yang menggunakan dialek tempatan, dan bagaimana leksikal
tempatan mampu digarap, dikias makna, dan diguna pakai semaksimumnya dalam
mencerminkan budaya, persepsi, perilaku dan pemikiran sesebuah masyarakat
pengguna bahasa. Sesetengah pemilik perniagaan, secara tidak langsung berusaha
menuangkan nilai-nilai budayanya ke dalam nama perniagaan mereka agar boleh
diketahui oleh generasi baharu atau masyarakat asing yang berkunjung ke negara
ini. Turut dimuatkan dalam makalah ini ialah kemahiran mengolah dan mencipta
satu-satu nama perniagaan dengan pelbagai bentuk dan gabungan bahasa, iaitu
sesuatu yang merupakan refleksi kreatif penciptanya yang ingin mengongsikan
pengalaman hidup diri dan masyarakatnya. Makna yang tersirat pada nama perniagaan
cukup luas untuk dibicarakan. Dalam sanubari pemilik perniagaan, pelbagai
hasrat terbuku untuk menyaksikan perniagaan yang dibina berkembang maju. Namun
dari sudut lain, makalah ini juga mencuba untuk mengongsikan bahawa terdapat
‘suatu bentuk kekreatifan’ yang berupaya menjejaskan atau menghapuskan bahasa
atau dialek tempatan dek faktor-faktor ekonomi dan sosial tanpa disedari oleh
masyarakat walaupun ini agak relatif sifatnya. Sikap pemilik perniagaan yang
mencipta nama perniagaan dengan berpaksikan ekonomi semata-mata sewajarnya
disedarkan, dan mereka seharusnya diinjeksi dengan sikap berbangga terhadap
bahasa sendiri. Pertimbangan terhadap ekonomi semata-mata menyebabkan munculnya
dampak yang bukan sedikit terhadap kelangsungan bahasa tempatan. Penciptaan nama
perniagaan yang bersifat berbilang bahasa (multilingual) lebih kerap
digunakan berbanding dengan nama perniagaan yang bersifat ekabahasa. Bentuk
kekreatifan sebegini acap kali dianggap sebagai suatu trend, dan jarang sekali
perkara ini dinilai sebagai suatu ketandusan idea. Tidak mustahil bentuk
kekreatifan sebegini akhirnya mencetuskan fenomena kegalauan pemakaian bahasa.
Dampak kegalauan pemakaian bahasa tidak boleh dianggap enteng dek mengejar
keuntungan semata-mata. Justeru, perlu ada inisiatif pihak-pihak yang bertanggungjawab
untuk melibatsertakan para peniaga untuk bersama-sama memelihara dan
mengutamakan warisan tak ketara, iaitu bahasa tempatan terutama pada aspek nama
perniagaan yang dipaparkan pada papan nama perniagaan. Pada akhir makalah,
diturunkan pelbagai langkah strategik yang boleh dilaksanakan bagi memunculkan
dan melestarikan dialek tempatan pada nama perniagaan.
Kata kunci: nama
perniagaan, bahasa dan dialek tempatan, multilingual, ekabahasa, kekreatifan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan