Dayang Hajah Aminah binti Haji Momin
Mohd Azurin Othman
Makalah sederhana ini
memaparkan inisiatif Dewan Bahasa dan Pustaka, Brunei (DBPB) yang turut
memberikan perhatian dan menggerakkan inisiatif dalam menyelidik dan
mendokumentasi bahasa dan dialek puak masyarakat di Brunei Darussalam. Umum mengetahui bahawa keluasan
geografi Brunei Darussalam sekitar 5765KM persegi yang secara relatifnya kecil
ini sebenarnya menjadi rumah bagi tujuh bahasa, iaitu bahasa Melayu Kedayan, bahasa Melayu
Tutong, bahasa Belait, bahasa Dusun, bahasa Murut dan bahasa Bisaya, dan bahasa
Melayu Brunei yang berperanan sebagai bahasa lingua franca di negara ini. Kepelbagaian bahasa yang tergolong
dalam keluarga bahasa-bahasa Austronesia ini tentunya tidak dapat
dikesampingkan sebagai bahasa yang hidup dan melalui proses akulturasi dan
adaptasi daripada bahasa yang dominan. Oleh sebab itu, inisiatif
pendokumentasian bahasa-bahasa ini dilaksanakan oleh DBPB dalam bentuk daftar
kata, mahupun kamus bahasa. Upaya pendokumentasian tersebut antara lain
tujuannya ialah (1) memelihara dan melindungi bahasa berkenaan dan sedapat
mungkin mendokumentasi data murni bahasa tersebut sebagaimana bentuk asalnya,
(2) memaparkan bentuk bahasa tutur penutur natif bahasa berkenaan dalam kamus
bahasa, (3) menyediakan sumber rujukan kepada pengkaji, penyelidik dan
mahasiswa, (4) sebagai sumber rujukan kepada penggubal istilah untuk tujuan
mencari konsep-konsep khusus dan sesuai daripada bahasa serumpun, dan (5) secara
umumnya bahasa yang dikemaskan dalam sebuah buku seperti kamus tentunya boleh
digunakan oleh masyarakat luas merentas wilayah. Prinsip asas daripada
keseluruhan inisiatif pendokumentasian yang dilaksanakan oleh DBPB ini tidak
lain ialah satu usaha nyata dalam membangun repositori bahasa puak minoriti (indigenous language) dengan cara membina
pangkalan data bahasa sama ada dalam bentuk data mentah seperti daftar dan
kamus mahupun data yang dialihwahanakan dalam bentuk data digital dalam laman
sesawang rasmi yang ketika ini dalam proses pengemaskinian.
Kata kunci:
dokumentasi kamus bahasa dan dialek, dan data bahasa digital
Tiada ulasan:
Catat Ulasan