Prof. Madya Dr. Saidatul Nornis Hj. Mahali
Sebagai medium
interaksi, bahasa menjadi penting kerana fungsi dan matlamat yang
ditanggungnya. Dalam mana-mana masyarakat di dunia, bahasa itu datang seiringan
dan berpadu dengan budaya. Kewujudannya menandakan bahawa bahasa itu penting
sebagai penyimpan khazanah serta kearifan masyarakat pendukung. Tanpa bahasa,
budaya sesebuah masyarakat itu akan mengalami penyusutan malah berkemungkinan
akan mulai dilupakan dan sekaligus ditinggalkan. Pada abad ke-21 ini, banyak
bahasa etnik khususnya di Borneo yang melalui fasa penyusutan penggunaannya
dalam kalangan ahli. Hal sedemikian terjadi berkemungkinan kerana pengaruh
bahasa dominan khusus bahasa kebangsaan dan bahasa global yang secara tidak
langsung menidakkan kewujudan bahasa etnik/peribumi. Malah sesetengah anggota
keluarga sengaja memilih untuk berinteraksi dalam bahasa selain bahasa
etnik/peribumi, kesannya bahasa berkenaan tidak diketahui dan difahami oleh
ahlinya. Hal seumpama itu bukanlah asing dalam kalangan kebanyakan etnik di
Borneo. Atas alasan kemajuan dan pemodenan maka bahasa etnik/peribumi
dipinggirkan sedikit demi sedikit. Peminggiran sedemikian secara tidak langsung
akan meminggirkan budaya lokal yang tersembunyi di dalam bahasa berkenaan.
Sehubungan itu, kertas ini diusahakan melihat cabaran dan usaha pelestarian
bahasa Bajau dalam kalangan generasi muda khususnya, apatah lagi bahasa Bajau
dilingkari oleh pelbagai budaya di Sabah khususnya dan Malaysia amnya. Antara
cabaran yang sedang dialami bahasa Bajau adalah sikap para ibu bapa yang malu
berbahasa itu di rumah malah bagi kebanyakan ibu bapa berpendidikan tinggi,
mereka lebih gemar berbahasa Inggeris atau berbahasa Melayu dengan anak-anak.
Akibatnya, bahasa Bajau dianggap sebagai bahasa yang ketinggalan dan tidak
mempunyai nilai komersial.
Kata kunci:
Bahasa Bajau, Pelestarian bahasa, Bahasa Etnik/Peribumi, Sabah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan